Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Rais Yatim, berkata kritikan tanpa mengetahui isu sebenar tidak banyak membantu seperti yang berlaku ketika laman sosial Facebook mula-mula wujud tetapi kini menyaksikan hampir semua orang mempunyai akaunnya.
Rais berkata, selepas penelitian dibuat, apa yang sepatutnya berlaku adalah mengambil aspek positifnya, manakala elemen yang tidak baik pula dibuang.
“Inilah yang saya katakan dalam ucapan tadi, mengapa kita di rantau ASEAN hanya menjadi pengikut? Mengapa kita tidak membina aplikasi yang sesuai dengan budaya kita?
“Jika aplikasi itu tidak elok, mengapa tidak kita mengatasinya dengan membina perisian yang baharu,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Persidangan Antarabangsa Sejarah dan Budaya di Wisma Sejarah, hari ini.
Mengulas lanjut, Rais berkata, Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (SKMM) juga sewajarnya bertindak proaktif dengan meneliti terlebih dulu aplikasi yang dibawa masuk ke negara ini dan membuat penilaian dengan bijak. –BH Online