Tanding Sungai Besar, Azmin akan gugur PAS di Selangor

Perkara itu dilaporkan akhbar The Star pagi ini yang mana kata dua itu disuarakan Azmin kepada tiga exco PAS Selangor iaitu Datuk Iskandar Samad, Datuk Ahmad Yunus Hairi dan Zaidi Abdul Talib.

Menurut sumber akhbar berkenaan, ugutan itu disampaikan Azmin selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang diadakan semalam.

Bagaimanapun, PAS dikatakan bertegas untuk terus bertanding di Sungai Besar dan dalam masa yang sama melarang barisan exco tersebut dari meletakkan jawatan.

Perkara itu diputuskan selepas mengadakan perjumlaan tergempas bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di kediamannya di Terengganu.

“Presiden kami tetap dengan keputusan jawatankuasa pusat untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu,” kata sumber PAS Selangor.

Beliau berkata parti itu bersedia untuk digugurkan daripada kerajaan negeri.

Semasa mesyuarat dengan ahli exco PAS, Azmin berkata PKR mempunyai peluang cerah untuk menentang Umno di Sungai Besar.

Jelasnya, PKR boleh mendapat sokongan undi Melayu dan Cina manakala PAS dan Amanah akan memberi kemenangan mudah kepada Umno.

Azmin memberi jaminan bahawa beliau akan berunding dengan pemimpin Pakatan Harapan untuk memberi laluan kepada PAS bertanding di kerusi Parlimen Kuala Kangsar.

Beliau juga berjanji bahawa PAS akan diberi kerusi Parlimen Sabak Bernam pada Pilihan Raya Umum yang akan datang.

PKR bertanding tetapi tewas di kerusi Parlimen Sabak Bernam pada 2013.

Related Articles