Tanding 40 kerusi, PKR hanya yakin menang tiga

Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian, berkata walaupun berkemungkinan mencatatkan kemenangan yang lebih baik, beliau sedar PRN kali ini amat sukar.

Beliau berkata, parti itu bertanding di 40 kerusi pada pilihan raya kali ini dan ia adalah satu cabaran besar.

“Kami berharap dapat mengekalkan kemenangan di tiga DUN, dan menang di satu atau dua kerusi baru. Lebih daripada tiga DUN adalah bonus bagi kami.

“Seperti kata orang, apa sahaja boleh berlaku dalam politik. Namun kita sedar PRN kali ini bakal menjadi amat sukar. Anda dapat lihat, wang sudah mula mencurah masuk (dalam bentuk projek kerajaan),” katanya dalam sidang media hari ini.

Penyandang DUN Ba’kelalan itu juga membayangkan kawasan itu bakal menjadi ‘kerusi panas’ dalam pilihan raya ini.

“Mereka sangat ingin melihat Pengerusi PKR Negeri dikalahkan,” katanya.

Ketika ditanya sebab parti itu bertegas untuk bertanding di banyak kerusi sehingga bertelagah dengan DAP, beliau hanya berkata, “kerana PKR memiliki calon yang boleh menang (winnable candidate)”.

Mengulas perkara sama, Naib Presiden PKR Xavier Jayakumar berkata, parti itu mungkin memenangi jauh lebih banyak kerusi jika pilihanraya dijalankan dengan lebih bebas dan adil.

Pada PRN 2011, PKR memenangi tiga kerusi DUN, iaitu Ba’kelalan, Krian (Ali Biju) dan Batu Lintang (See Chee How), daripada 49 kerusi yang ditandingi.

Sementara itu, PKR hari ini melancarkan ‘pokok KEADILAN’ sebagai usaha mencari dana untuk parti itu dalam PRN kali ini.

“Rakyat boleh menulis harapan mereka terhadap Sarawak dalam 3,000 kad yang akan diedarkan dan gantungkan di pokok KEADILAN ini. Kad bukan untuk dijual tetapi kepada penyumbang secara sukarela,” katanya lagi.

Related Articles