Anggota Parlimen Hulu Selangor, Datuk P. Kamalanathan berkata, kerja mengukuhkan tebing itu dibuat malam ini bagi mengelak berlaku runtuhan tanah selanjutnya.
“Ketika ini JKR sedang melaksanakan kerja secepat mungkin kerana terdapat saliran air yang melalui kawasan runtuhan itu.
“Proses pengukuhan tebing dibuat untuk mengelak tanah runtuh berlaku dan menyebabkan keadaan bertambah teruk,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian.
Polis telah mengisytiharkan kawasan tanah runtuh yang berlaku kira-kira 1 pagi Sabtu sebagai kawasan larangan Zon Merah dan mengarahkan 340 penduduk berpindah ke Sekolah Rendah Agama Serendah.
Kamalanathan yang juga Timbalan Menteri Pendidikan berkata, setelah kerja mengukuhkan tebing siap, keputusan sama ada penduduk boleh pulang ke rumah atau sebaliknya mungkin boleh dibuat.
Tinjauan Bernama pada Sabtu malam mendapati kerja membaik pulih kawasan terjejas giat dijalankan. – Bernama