Taman Tema Upin Ipin di Shanghai, Les’ Copaque ke China

Studio animasi itu berkata dalam satu kenyataan pada Jumaat, perjanjian tersebut, yang dibuat di bawah program ‘One Belt, One Road’ (OBOR), akan melihat Nicecrown Int. sebagai wakil dan pemudahcara dalam menguruskan sebarang perjanjian untuk melaksanakan projek itu.

“Ini termasuk pembinaan taman tema Upin & Ipin di Shanghai dan Urumqi di China, dengan kos berjumlah RM40.7 bilion dan sebuah taman tema di Malaysia, dengan anggaran kos sebanyak US$20 bilion.

“Projek itu juga akan mempamerkan dan mempromosikan harta intelek Les’ Copaque selain mengenal pasti stesen televisyen tempatan dan rangkaian pawagam untuk menayangkan siri animasinya di sana.

“Nicecrown Int. juga akan membangunkan perniagaan membabitkan barangan, pelesenan dan restoran, antara lain, dalam pasaran China,” katanya.

Pada April 2016, Les’ Copaque dipelawa oleh kerajaan China, melalui China World National Culture Promotion Society dan Persatuan Pelaburan Syarikat Malaysia, untuk memperluaskan perniagaannya di sana di bawah program OBOR.

Program OBOR menumpukan kepada pembangunan kesalinghubungan dan infrastruktur untuk membina dan mengukuhkan hubungan ekonomi dengan kumpulan ekonomi 65 buah negara yang terlibat dalam inisiatif ini.

“Dengan pemeteraian MOA, Les’ Copaque berjaya menjadi peserta global Malaysia yang pertama menembusi pasaran China secara keseluruhannya dan akan membuka pintu kepada peserta industri kreatif yang lain dari negara ini,” kata kenyataan tersebut. – Bernama

Related Articles