Menurut kenyataan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), 45 anak penyu dilepaskan semalam manakala empat lagi dilepaskan pada 5 Disember.
Penyu itu ditetaskan daripada dua sangkar telur berjumlah 134 biji dari lubang yang digali di pantai itu dan kemudiannya dipindahkan ke pusat penetasan penyu.
Pusat penetasan itu adalah di bawah projek Beacon (Biodiversiti, Alam Sekitar dan Pemuliharaan) yang merupakan kerjasama pemuliharaan antara SFC dan Petronas MLNG.
“SNP merekodkan enam sarang penyu agar di pantainya pada tahun ini yang menghasilkan sebanyak 490 telur dan kesemuanya dipindahkan ke pusat penetasan penyu,” katanya.SFC menyifatkan kembalinya penyu itu ke pantai berkenaan selepas selang lebih lima tahun sebagai kejayaan kepada projek Beacon.
Kali terakhir penyu didapati membuat sarang di pantai itu adalah pada Julai 2010.
Dalam kenyataan pada 2015, SFC berkata 525 biji telur penyu yang dikumpul menghasilkan 277 ekor anak penyu yang kemudiannya dilepaskan semula ke laut.
Menerusi projek Beacon, sebanyak 1,500 unit tukun bebola ditanam di pantai SNP sejak 2013.
“Tukun bebola itu berperanan sebagai pelindung dan penghalang pasif kepada aktiviti pukat tunda yang memudaratkan penyu.
“Kewujudan tukun bebola di perairan berhampiran taman ini telah banyak mengurangkan aktiviti pukat tunda di kawasan pantai, sekali gus memberi perlindungan dan menggalakkan penyu supaya kembali semula ke pantai ini,” kata SFC. –Bernama