Siti Nuraisyah ataupun lebih mesra dipanggil Ecah mendapat perhatian media dan masyarakat negara ini apabila kehilangan kedua-dua belah kaki digilis lori dalam kejadian kemalangan 18 Januari lalu.
Adik Ecah berkesempatan bertemu Perdana Menteri di Masjid Al-Mukmin, Tali Air 12, Sungai Nibong, di Sungai Besar.
Bagi Ecah, keprihatinan Perdana Menteri terhadap nasib menimpanya membuatkan beliau begitu teruja berjumpa pemimpin nombor satu negara itu.
“Saya gembira dan teruja kerana dapat mengucapkan sendiri rasa terima kasih dan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana mengambil berat mengenai kisah saya.
“Tidak sangka Datuk Seri (Najib) boleh datang ke sini dan diberikan sedikit waktu untuk saya berjumpa dengannya.
“Alhamdullilah kehidupan saya kini sudah beransur baik dan terima kasih juga kepada semua pihak termasuk agensi kerajaan dan individu lain yang membantu,” katanya yang hadir bersama bapa tirinya Roslan Sardi, 40, serta ibu kandung Maimunah Md Razali, 48.
Dalam pada itu, Ecah dilihat ceria dan berbual mesra selama kira-kira 15 minit sebelum Najib meninggalkan masjid selepas selesai solat tarawih.
Dalam kejadian jam 3.30 petang di Parit 16 Sungai Panjang, 18 Januari lalu, Ecah putus kedua-dua kakinya dari bawah paras lutut selepas digilis lori.
Sebelum kejadian, dia membonceng motosikal Honda EX5 ditunggang kakak tirinya, Shamin Amirah Roslan, 14, dalam perjalanan pulang ke rumah dari sekolah.
Sebelum ini Najib menghulur bantuan segera yang disampaikan Pengerusi Tabung Haji Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim ketika dia menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.