Tak Puas Hati Duit Beli Dadah, Hal Harta Jadi Punca Anak Pukul Ibu

by Anis

KUALA LUMPUR: Suspek lelaki yang ditahan semalam kerana memukul ibunya dan mengugut hendak membakar rumah kerana tidak berpuas hati dengan jumlah wang yang diberikan mangsa tidak mencukupi.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad juga berkata, lelaki berusia 45 tahun yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik itu turut bertindak sedemikian kerana tidak puas hati dengan pembahagian harta keluarga.

Kejadian dilaporkan berlaku di sebuah rumah flat di Jalan Gangsa, Georgetown.

Mohamed Usuf memberitahu bahaea wanita warga emas itu telah menyerahkan RM250 kepada suspek namun dia tidak puas hati dengan jumlah diberikan sebelum bertindak agresif.

“Suspek menganggapkan pemberian RM250 itu sebagai satu penghinaan terhadap dirinya sebelum meminta RM20,000 daripada ibunya dengan alasan hasil pembahagian harta peninggalan bapanya.

“Apabila ibunya enggan mengikut permintaan suspek yang dalam pengaruh dadah terus bertindak memukul wanita itu sebelum ia disedari jiran dan memaklumkan kejadian kepada pihak polis.

“Siasatan kita juga mendapati ini bukan kali pertama suspek bertindak sedemikian cuma semalam dia lebih agresif susulan tiada penghuni lain di rumah,” katanya.

Tambah Mohamed Usuf, selepas diselamatkan polis ibu suspek yang juga seorang penjaja menerima rawatan sebagai pesakit luar sebelum dibenarkan pulang.

“Semakan lanjut juga mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau membabitkan dadah serta jenayah.

“Suspek yang positif dadah itu kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 akta sama,” katanya. – The Rakyat Insight

Related Articles