KUALA LUMPUR: Kritikan bahawa kerajaan tidak faham dan prihatin terhadap permasalahan dihadapi rakyat terutama membabitkan kos sara hidup adalah tidak benar, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.Perdana Menteri berkata, harga barangan keperluan seperti ayam, telur dan minyak masak diyakini masih rendah serta stabil jika dibandingkan dengan kerajaan terdahulu.“Saya bagi contoh umpamanya, tahun 2021 sebelum pertukaran kerajaan, berapa harga ayam? Sampai RM13 sekilogram (kg), sekarang jauh lebih rendah, minyak masak lima kg ketika itu mencecah RM45, jadi kawan pembangkang saya bising tetapi, dia lupa dan dia ingat kita pun lupa.“Masa dia jaga, harga minyak masak itu untuk lima kg, RM45 hingga RM50, sekarang sekitar RM27, telur ayam, dahulu heboh tidak ada telur, sekarang stabil dan kita sudah guna penyelarasan subsidi, bayangkan harga ayam turun ketimbang dua tahun lalu tanpa bantuan siling,” katanya.Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, hari ini.Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, langkah reformasi awal yang dilaksana kerajaan membuahkan hasil bukan sahaja dari sudut pelaburan malah, Malaysia menerima pengiktirafan dari negara luar tentang kesungguhan kerajaan, penjawat awam dan sektor awam yang melaksanakan program perubahan.Katanya, langkah itu termasuk penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023 yang menjadikan kerajaan lebih berdisiplin dalam fiskal dan ekonomi negara dapat diurus dengan lebih baik.“FRA itu bermakna menteri kewangan mengambil keputusan menyerahkan sebahagian tugasnya supaya dipantau secara langsunng oleh Parlimen, dia tidak terlepas seperti biasa.“Itu sebab saya lakukan kerana ini juga akan bantu menambah keyakinan kepada masyarakat, pelabur dalam domestik dan luar negara,” ujarnya.Anwar berkata, negara ini tidak dapat diselamatkan daripada hutang yang tinggi sekiranya tidak diperbetulkan pengurusan kewangan, defisit tidak dikurangkan dan belanjawan tidak secara lebih berhemah.“Sejak awal mengemudi pentadbiran ini, kita tekankan soal tatakelola. Banyak wacana dan perbahasan mengenai isu governance dan mengapa perang rasuah dengan keras.“Ada pandangan menyatakan kita harus ambil pendekatan yang lunak dan lumayan, jalankan kerja seperti biasa dan ini bukan pilihan kita.“Saya yakin, Malaysia punyai keupayaan untuk diangkat martabat dan darjatnya sebagai negara maju tetapi harus bermula dari pimpinan yang punyai integriti dan penjawat awam yang mengikut kehendak perubahan seadaya-upaya.“Tiada makna pimpinan baharu nak pertahankan semua kaedah yang lama, yang baik kita manfaatkan tapi kebiasaan untuk mengondol kekayaan dan memperkayakan pimpinan, tidak boleh,” tegasnya.Katanya lagi, kerajaan bertekad untuk terus tegas dalam isu memerangi rasuah meskipun ada bantahan dan tuntutan supaya kontroversi berkaitnya dikurangkan. – MalaysiaGazette
4