KUCHING: Bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud kini dikatakan berada di Kuala Lumpur, selepas keluar dari Pusat Perubatan Normah di Petra Jaya, dekat sini pada Sabtu lalu
Tokoh berpengaruh berusia 87 tahun itu dikatakan dibawa ke ibu negara dengan penerbangan khas tengah hari semalam, namun tidak diketahui sama ada beliau menerima rawatan di hospital atau tidak, kata sumber.
Selepas dibawa keluar dari Pusat Perubatan Normah pada tengah malam Sabtu lalu, bekas Ketua Menteri Sarawak itu dilapor menerima rawatan di kediamannya di Demak Jaya.
Terdahulu Rabu lalu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg mengesahkan doktor dan jururawat dari Pusat Perubatan Pakar Normah ditempatkan di kediaman Abdul Taib bagi merawat serta memantau keadaan kesihatan bekas pemimpin negeri itu.
Sebelum itu, seorang doktor pusat perubatan terbabit membuat laporan polis kerana mendakwa Abdul Taib yang sedang menerima rawatan dibawa balik ke rumahnya secara paksa.
Selepas laporan berkenaan, adik bekas Yang di-Pertua Sarawak itu, Datuk Mohamad Tufail Mahmud turut membuat satu lagi laporan polis.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata pada Rabu lalu, mengesahkan polis menerima lapan laporan berkaitan isu terbabit dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan. -Berita Harian