Tahap penglibatan ibu bapa di sekolah perlu dipertingkat

Beliau berkata, mengikut statistik terkini, secara keseluruhannya, terdapat negeri yang tahap penglibatan ibu bapa di sekolah mencecah sehingga 70 peratus dan ada juga yang hanya mencapai 40 peratus.

“Penglibatan ibu bapa dengan aktiviti di sekolah ini bergantung kepada keadaan setempat. Saya tidak boleh sebutkan ikut negeri. Tetapi mengikut pengetahuan saya, ada yang telah mencapai tahap tertinggi dan membanggakan.

“Contohnya, ibu bapa sendiri yang cat tangga dan bilik air sekolah, membaiki peralatan sekolah yang mana semua ini tidak memerlukan khidmat kontraktor. Malah ada aktiviti yang ibu bapa sendiri anjurkan di sekolah dan guru-guru hanya perlu menyertainya bersama anak murid,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Persidangan Lembaga Pengelola Sekolah-Sekolah Tamil di Insitut Aminuddin Baki, Genting Highlands di Bentong pada Ahad.

Mahdzir berkata, ibu bapa kini bukan hanya ke sekolah untuk mengambil kad laporan anak-anak, sebaliknya turut terlibat secara aktif dalam kegiatan dianjurkan sekolah.

Jelasnya, kementerian sedar usaha untuk meningkatkan penglibatan ibu bapa dengan aktiviti di sekolah ini sangat mencabar dan ia diberi penekanan penting seperti yang digariskan di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025. – Bernama

Related Articles