Tahanan reman Pengarah DBKL dilanjutkan lima hari

Perintah reman sehingga 27 Ogos ini dikeluarkan oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Abdul Rahman selepas suspekberusia 54 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret di Putrajaya pada pukul 9.35 pagi, memetik Kosmo Online.

Sebelum ini, majistret telah membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman lelaki itu selama tujuh hari bermula 16 hingga 22 Ogos 2016.

Dia direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Kes tersebut juga disiasat di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Pada 16 Ogos lalu, akhbar melaporkan SPRM bertindak membeku akaun simpanan berjumlah lebih RM13 juta milik tiga penjawat awam termasuk dua daripada mereka berpangkat Datuk dan Datuk Seri selepas ditahan bagi membantu siasatan.

Ketiga-tiga suspek berusia dalam lingkungan 50-an itu ditahan dalam operasi serentak yang dijalankan di Kuala Lumpur, Melaka dan Kelantan antara pukul 12 tengah hari hingga 2 petang.

Menurut peguam Azizzul Shariman Mat Yusoff, pihak SPRM telah memohon tahanan reman selama tujuh hari namun mahkamah hanya membenarkan selama lima hari bermula esok.

Related Articles