Syed Saddiq mohon Sultan Johor jangan haramkan demonstrasi

Syed Saddiq berkata, demonstrasi jalanan adalah senjata demokrasi yang rakyat gunakan untuk mengekspresikan pandangan mereka apabila diasak pemimpin negara.

“Selagi keganasan tidak dibudayakan, perhimpunan aman ini sentiasa berjalan dengan lancar. Malaysia pada hari ini diserang bertubi-tubi dengan skandal rasuah berskala besar dan salah guna kuasa yang menindas suara rakyat.

“Demonstrasi jalanan merupakan jalan demokrasi untuk kami mengekspresikan pandangan kami, terutamanya apabila tarikh pilihan raya belum ditentukan. Apabila rakyat diasak oleh pemerintah negara, tolonglah jangan mengharamkan salah satu senjata demokrasi kami.

“Rakyat dan raja berpisah tiada. Tolong pertahankan hak kami Tuanku,” kata Syed Saddiq, dalam surat terbukanya untuk Sultan Ibrahim di laman Facebook miliknya, hari ini.

Pendebat terbaik Asia itu berkata, hak untuk berdemonstrasi merupakan salah satu tiang demokrasi, seperti mana hak rakyat untuk mengundi.

“Kita tidak boleh pisahkan tiang tiang demokrasi yang mencorakkan tanah air tercinta.

“Tuanku, sejarah Malaya/Malaysia banyak diwarnakan dengan demonstrasi jalanan yang awam. ‘From the rallies against Malayan union to the strikes declared by aggrieved employees’,” katanya.

Tambahnya lagi, hak untuk berdemonstrasi dengan aman adalah hak setiap warganegara Malaysia mengikut Artikel 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan yang diiktiraf dalam undang-undang antarabangsa seperti Artikel 20(1) Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat dan Artikel 21 Waad Antarabangsa Mengenai Hak Awam dan Politik.

“Patik faham akan keperluan untuk mengawal selia hak ini seperti apa yang diketengahkan dalam Akta Perhimpunan Awam,” katanya.

Sebagai salah seorang Bangsa Johor, beliau turut melahirkan rasa bangga dan penghargaan kepada Sultan Ibrahim yang lantang bersuara menentang rasuah, semangat perkauman dan salah guna kuasa kerana menurutnya ia jelas menunjukkan bahawa baginda mengambil perhatian tentang keluh kesah rakyat Malaysia.

Sultan Ibrahim semalam bertitah melarang sebarang bentuk demonstrasi daripada diadakan di negeri itu kerana bakal menggugat ketenteraman awam.

Baginda bertitah, demonstrasi jalanan adalah budaya sesat dan tidak bertanggungjawab kerana menimbulkan kebencian dengan menghina pemimpin negara.

“Tindakan rakyat berkumpul di tempat-tempat awam dan melakukan perbuatan hina pemimpin dan individu tertentu adalah tidak bertanggungjawab,” titah baginda ketika Perhimpunan Bangsa Johor di Stadium Tertutup Pasir Gudang, di Johor Bahru.

Related Articles