Syed Hamid setuju PRU diadakan awal

Beliau berkata, cadangan Musa itu dilihat dari sudut positif yang mana ianya akan memberi kelebihan buat UMNO dan Barisan Nasional (BN) dari aspek isu-isu politik yang dimainkan pembangkang.

“Kita banyak isu yang perlu diketengahkan seperti integriti dan keyakinan. Jangan kita buat sesuatu yang boleh menjadikan orang tak tertumpu kepada apa yang Barisan Nasional (BN) telah buat,” katanya memetik laporan AgendaDaily.

Syed Hamid berkata cabaran yang dihadapi oleh Datuk Seri Najib Tun Razak amat berbeza jika dibandingkan dengan Perdana Menteri yang terdahulu seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Najib datang dalam zaman yang sudah berubah. Semasa saya menjadi Menteri di zaman Mahathir dan Pak Lah, isu-isu dan budaya politik adalah berbeza. Saya tengok sekarang, pegang jawatan SPAD pun tak mudah kerana manusia tidak ada lagi adab, tertib.

“Dunia siber boleh dikatakan satu rimba yang buas. Oleh itu Najib berdepan dengan permintaan dan permainan politik yang berbeza dan dia perlu menangani bukan sahaja kesan domestik tetapi juga global,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berbeza, beliau ketika diminta mengulas mengenai penubuhan parti baru, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, parti itu akan mengalami sedikit kesukaran untuk bertapak sebagaimana dilakukan UMNO.

“Saya lahir dalam UMNO jadi saya tidak boleh melihat diri ini berubah daripada UMNO. Oleh sebab itu saya fikir apa parti pun kita tubuhkan, untuk bertapak sebagaimana yang telah dilakukan oleh UMNO, susah sikitlah,” ujarnya.

Beliau juga berkata, dirinya tidak menganggap Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga pengasas kepada BERSATU sebagai satu ancaman kepada UMNO kerana berpendapat bekas Perdana Menteri itu mengetengahkan isu-isu yang jelas melibatkan isu politik.

“Untuk seorang yang kita hormat sebagai negarawan, dia tak perlu terlibat ke kancah politik sehingga boleh merosakkan nama baik dan imejnya sendiri,” katanya lagi.

Related Articles