Penjelasan itu dibuat selepas Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat menamakan Ketua Eksekutif Red Granite, Riza Aziz yang merupakan anak tiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai individu utama dalam samannya, yang bertujuan untuk memulangkan AS$1 bilion dana yang didakwa disalahgunakan.
“Setahu Red Granite, tidak ada pembiayaan yang diterimanya empat tahun lalu adalah dalam apa-apa cara yang tidak sah dan tidak ada dalam saman sivil mahkamah hari ini yang mendakwa Red Granite tahu sebaliknya.
“Red Granite terus bekerjasama sepenuhnya dengan semua inkuiri dan yakin apabila fakta-fakta ditampilkan, ia akan menjadi jelas bahawa Riza Aziz dan Red Granite tidak melakukan sebarang kesalahan,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan semalam.
Jabatan Kehakiman AS telah memfailkan saman pelucuthakan di mahkamah Los Angeles, dengan mendakwa Red Granite menerima A$64 juta yang dikesan berasal dari 1MDB walaupun sebelum ini Riza telah menafikan bahawa mereka menerima dana dari 1MDB.
Walaupun jabatan itu tidak boleh merampas pendapatan yang lepas syarikat itu dari filem ‘Wolf Wall Street’, saman itu bertujuan untuk merampas perolehan pada masa akan datang dari filem itu yang belum dijelaskan kepada Red Granite.
Red Granite juga dilaporkan sebagai berkata bahawa saman itu tidak akan menjejaskan operasinya.
“Red Granite tidak menjangkakan saman itu – yang terhad kepada hasil masa depan sebuah filem tunggal itu, dan yang tidak difailkan terhadap Red Granite atau mana-mana pekerjanya – akan memberi kesan terhadap operasi hariannya, untuk terus bergerak ke hadapan dengan projek-projek baru yang mengujakan, ” kata Red Granite Pictures.
Selain Riza, saman yang difailkan di Los Angeles turut menamakan ahli perniagaan Jho Low dan dua pegawai kerajaan Abu Dhabi, Khadem al-Qubaisi dan Mohamed Ahmed Badawy Al-Husseiny.
Menurut saman itu, dana dari 1MDB telah “disalahgunakan” untuk membeli aset termasuk rumah mewah, karya seni, sebuah jet peribadi dan untuk membiaya hutang perjudian di kasino Las Vegas.