KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki memukul ibu dan anak saudara perempuannya sehingga cedera dalam kejadian di sebuah rumah di Mentakab, Temerloh, Pahang.
Ketua Polis Temerloh, Mazlan Hassan, berkata kejadian berlaku ketika wanita berusia 77 tahun dan cucu perempuannya yang berusia 31 tahun berada di halaman rumah, semalam.
Katanya, secara tiba-tiba suspek berusia 52 tahun menghalau mereka keluar rumah lalu memukul anak saudaranya menggunakan penyapu dan topi keledar.
Mazlan berkata, melihat kejadian, wanita warga emas terbabit cuba melindungi cucunya dengan memukul anaknya itu dengan penyapu.
“Berang dipukul, suspek bertindak balas dengan merentap penyapu yang dipegang ibunya sebelum memukul muka wanita itu,” katanya menurut Sinar Harian.
Katanya, kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan ringan di beberapa bahagian badan mendapatkan rawatan di hospital sebelum membuat laporan polis.
“Suspek ditahan hari ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.
“Suspek juga akan menjalani saringan air kencing bagi mengenal pasti sama ada positif dadah atau sebaliknya,” katanya. – FMT