Suspek kes bunuh ibu lumpuh berdepan hukuman mati

Tertuduh, Chan Chee Keong,55, mengangguk faham selepas pertuduhan tersebut dibacakan oleh jurubahasa dihadapan Majistret Ahmad Asyraf Mohamed Kamal.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan oleh tertuduh yang digari kedua-dua tangannya pada katil.

Ahmad Asyraf tiba di hospital pada pukul 11.45 pagi sebelum pertuduhan dikemukakan terhadap Chee Keong di wad 2C hospital tersebut yang diisytiharkan sebagai kawasan mahkamah.

Tertuduh ditempatkan di wad berkenaan sejak 4 Oktober lalu untuk menerima rawatan masalah kesihatan yang dihadapinya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pembunuhan menyebabkan kematian ibunya, Low Kew @ Low Lin Kiew, 74, di No. B-23, Kampung Baru Cina,Air Kuning, Tapah pada pukul 6.45 petang 27 September lalu.

Pendakwaaan terhadap tertuduh dikemukakan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Fatin Farahiyah Nadzri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ahmad Asyraf menetapkan 11 November depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia dan bedah siasat mangsa yang terbunuh.

Terdahulu, mayat Lin Kiew, 74, ditemui di dapur rumahnya dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan tetakan di muka dan leher.

Wanita itu dipercayai dibunuh oleh anak lelakinya yang ketika itu berada di bawah pengaruh dadah dan mayat mangsa ditemui oleh anak sulungnya yang tiba dari Kuala Lumpur.

Suspek turut disahkan oleh polis positif dadah jenis morphine sewaktu kejadian, memetik laporan Kosmo Online.

Related Articles