KUALA LUMPUR: Tindakan seorang pekerja p-hailing membakar sebuah kereta polis bantuan dan memuat naik video kejadian tersebut bagi mendapatkan perhatian di aplikasi TikTok, membawa padah apabila ditahan polis pagi Khamis.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, suspek lelaki berusia 25 tahun itu ditahan di Flora Damansara, kira-kira 10 pagi tadi dan polis turut merampas tukul besi serta botol air berisi petrol disyaki digunakan dalam kejadian tersebut.
“Siasatan awal mendapati suspek melakukan perbuatan itu kerana mahu mendapatkan rating tinggi di aplikasi TikTok dengan cara memuat naik video kejadian melalui telefon bimbitnya selain mahukan perhatian,” katanya dalam kenyataan.
Dalam kejadian 1.42 pagi semalam, sebuah kereta milik polis bantuan Prasarana Malaysia Berhad terbakar dipercayai akibat dibaling molotov cocktail berhampiran Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Mutiara Damansara.
Video suspek berlatar belakangkan kereta berkenaan yang sedang terbakar turut tular di laman sosial dengan kapsyennya yang mendakwa berpuas hati kerana telah membakar kereta tersebut.
Mohamad Fakhruddin berkata, semakan mendapati lelaki itu yang bekerja sebagai penghantar makanan positif dadah jenis morfin hasil ujian saringan air kencing, namun tiada rekod jenayah lampau.
Menurutnya, lelaki tersebut akan direman esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 dan 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat dengan api. – Bernama