Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Ir Shahimi Sharif, berkata sehingga jam 8 pagi tadi, beberapa sungai di negeri ini mencatat peningkatan paras air ke tahap berjaga-jaga berbanding paras biasa sebelum ini.
Katanya, antaranya termasuklah di Sungai Galas, Gua Musang menunjukkan bacaan 56.09meter (m) melebihi paras berjaga-jaga iaitu 56.00m.
“Di Sungai Lebir, paras air menunjukkan bacaan 27.42m (paras berjaga-berjaga dan di Sungai Golok, Rantau Panjang 7.18m melebihi paras berjaga-jaga iaitu 7m,” katanya menurut laporan Berita Harian Online.
Shahimi berkata, hujan lebat sejak dua hari lalu di negeri ini menunjukkan pergerakan ke arah pantai dan keadaan itu akan mengurangkan risiko untuk berlaku banjir besar.
Katanya, JPS juga akan mengedarkan maklumat berkaitan paras air dan situasi semasa melalui aplikasi WhatsApp kepada semua ketua jajahan serta pihak berkuasa dalam memastikan semua info berkaitan banjir dapat disalurkan secara menyeluruh.
“Kami sentiasa memantau paras air sungai di negeri ini dan bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan berikutan hujan tidak berhenti sekarang.
“Penduduk terutama yang tinggal di kawasan rendah rakyat diminta berjaga-jaga terutama mereka yang berada di kawasan rendah dan mematuhi arahan pihak berkuasa termasuk berpindah jika berlaku banjir
“Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat di laman web http:/infobanjir.water.gov.my/ untuk sebarang info semasa berkaitan banjir,” katanya.
BH Online melaporkan semua anggota penguat kuasa dan keselamatan di jajahan Pasir Puteh diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga, selepas beberapa kawasan rendah, di jajahan itu dinaiki air berikutan hujan tidak berhenti sepanjang hari semalam dan masih berterusan hingga hari ini.
Bagaimanapun, belum ada lagi penduduk yang dilaporkan menjadi mangsa banjir dan dipindahkan ke pusat pemindahan walaupun kawasan rendah seperti di Kampung Raja, Kampung Tasek dan Bukit Awang, air mulai naik sehingga mencecah kira-kira satu meter.