Sultan Terengganu lucut darjah kebesaran menteri besar

Perkara itu disahkan melalui satu kenyataan yang dikeluarkan pihak Istana Terengganu oleh Datuk Pengelola Bijaya DiRaja, pada Isnin.

“Setelah berunding dengan Dewan Pangkuan Diraja Negeri Terengganu, adalah dimaklumkan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan telah melucutkan semua Darjah-darjah Kebesaran Negeri Terengganu yang telah dikurniakan kepada Ahmad Razif bin Abd Rahman berkuat kuasa mulai hari Jumaat, 22 April 2016.

“Pengisytiharan yang dibuat ini tiada kaitan dengan perkembangan-perkembangan lain yang berlaku di negeri Terengganu,”memetik kenyataan tersebut.

Ahmad Razif dikurniakan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Terengganu Kehormat (DPMT) yang membawa gelaran Datuk pada 2012 dan Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZ) yang membawa gelaran Datuk Seri pada April 2015.

Ahmad Razif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu menggantikan Datuk Seri Ahmad Said pada 12 Mei 2014.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini meminta semua pihak menghentikan spekulasi mengenai kedudukan Ahmad Razif dan berkata beliau akan mengadap Sultan Mizan berhubung isu berkenaan dalam masa terdekat.

Beliau juga berkata pentadbiran kerajaan negeri Terengganu masih berjalan seperti biasa.

Hubungan antara istana dan Ahmad Razif menimbulkan persoalan sejak Sabtu lalu selepas beliau diperkenalkan dalam dua majlis rasmi tanpa gelaran darjah kebesaran ‘Datuk Seri’.

Related Articles