Sultan Selangor Sifatkan Hadi Awang Tidak Beradab

PETALING JAYA: Sultan Selangor dukacita dengan kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam artikel berjudul ‘Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan’, sambil menyifatkan Ahli Parlimen Marang itu sebagai tidak beradab.

Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam surat diutuskan kepada Hadi menegur kenyataan sinis itu yang secara tidak langsung mengaitkan titah ucapan baginda dengan sikap Raja-Raja yang perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat.


“Mengaitkan titah ucapan baginda dengan sikap Raja-Raja yang perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat dan tidak mengejar kepentingan dunia semata-mata adalah satu kenyataan yang amat tidak bersesuaian serta tidak beradab dari sudut budaya orang Melayu yang sentiasa menghormati dan memelihara adab ketika menyuarakan pandangan dan nasihat kepada Raja-Raja Melayu,” katanya menurut kenyataan Selangor Royal Office di Facebook.

Baginda bertitah, kenyataan Hadi bukan sahaja mengelirukan malah boleh membawa kegelisahan yang akhirnya boleh menjurus kepada perpecahan kepada perpaduan umat Islam khususnya di kalangan orang Melayu.

Hadi dalam artikel diterbitkan pada 20 Feb, mengingatkan “penganut Islam menjaga dan mempertahan akidah masing-masing, bukanlah menghina, khususnya pengamal undang-undang dan semua terlibat dengannya daripada kalangan para hakim dan peguam, termasuk Ahli Parlimen dan Adun, bahkan Raja-Raja supaya berwawasan akhirat dengan bijaksana memandang ke akhirat sana, bukan memandang kepentingan dunia di sini sahaja”.

Hadi berkata, Perlembagaan Persekutuan digubal penjajah menipu umat Islam dengan tujuan tidak mahu sesekali memberikan kuasa kepada Islam.

Sultan Selangor turut bertitah agar Hadi berhati-hati membuat sebarang kenyataan dengan meneliti dan memperhalusi titah ucapan baginda sebelum ini.

“Kenapa sekarang beliau mempertikaikan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara sedangkan agama Islam telah ditetapkan sebagai agama persekutuan semenjak Perlembagaan digubal pada tahun 1957 lagi,” titahnya sambil menasihatkan Hadi lebih waspada tidak mengulangi perbuatan menghina Raja-Raja Melayu.

Baginda juga menegaskan ahli dan pemimpin politik tidak memperalat Islam dan mencemari kesucian agama itu demi kepentingan politik masing-masing.

Baru-baru ini, ketika berucap dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), Sultan Sharafuddin selaku pengerusi MKI menitahkan agar satu penyelesaian dicari bagi memastikan kompetensi Dewan Negeri untuk gubal undang-undang syariah dapat diperkemas di bawah Perlembagaan agar tiada lagi timbul isu pertindihan.

Pada 9 Feb, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan yang memihak petisyen difailkan peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dengan membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dengan alasan bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Panel sembilan hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, mencapai kesimpulan dalam keputusan majoriti 8-1 bahawa DUN tiada kuasa meluluskan 16 peruntukan dalam enakmen itu kerana kesalahan terbabit dirangkumi bawah undang-undang persekutuan.

Tengku Maimun dalam penghakimannya menegaskan petisyen itu tiada kena-mengena dengan isu kesucian agama Islam atau kedudukan Mahkamah Syariah di negara ini. – Free Malaysia Today

Related Articles