Sultan Selangor selamat diijabkabulkan 31 Ogos lalu

Perkara berkenaan disahkan oleh Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani melalui satu kenyataan yang diedarkan pihak Istana Selangor.

Majlis akad nikah tersebut diadakan di Masjid Istana Alam Shah, Klang.

“Majlis pernikahan selamat disempurnakan pada pagi 31 Ogos di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang secara sederhana dan ringkas atas titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

“Majlis dihadiri Timbalan Mufti Selangor, Dr Anhar Opir, Imam Paduka Tuan, Mohd Rasid Mahful, Bekas Timbalan Mufti Selangor, Datuk Abdul Majid Omar, Ahli Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Salehuddin Saidin, bapa serta ahli keluarga pengantin perempuan,” katanya dalam satu kenyataan.‎

Isteri baginda, Norashikin merupakan bekas pembaca berita RTM yang berusia 45 tahun.

Difahamkan, perkahwinan Norashikin kali ini merupakan kali kedua manakala perkahwinan pertamanya beliau dikurniakan dua cahaya mata.

Sultan Sharafuddin Idris Shah merupakan Sultan Selangor ke-9 yang memerintah negeri Selangor sejak 22 November 2001 berikutan kemangkatan ayahanda baginda, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj.

Pada tahun 1968, baginda berkahwin dengan Raja Zarina Raja Tan Sri Zainal dan dikurniakan dua puteri, Tengku Zerafina dan Tengku Zatashah.

Setelah berpisah pada 1986, baginda berkahwin dengan seorang warga Amerika Syarikat, Nur Lisa Idris Abdullah pada tahun 1988 (berpisah pada 1997) dan mempunyai seorang putera, Tengku Amir Shah hasil perkahwinan tersebut.

Related Articles