“Saya telah katakan apa yang perlu dikatakan. Cukup cukuplah. Saya buat kenyataan berdasarkan fakta dan perangkaan, dan bukannya berdasarkan laporan berita Barat.
“Saya tidak akan buat andaian atau mencetuskan kebimbangan, itu sahaja,” titah baginda.
Sultan Johor bertitah, baginda hanya berminat dalam soal kebajikan rakyat dan bukannya politik.
Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitiah ketika diminta mengulas mengenai reaksi Dr Mahathir berhubung kenyataan bekas perdana menteri berkenaan terhadap pembangunan Forest City di negeri itu.
Dr Mahathir mengeluarkan beberapa kenyataan dan komen di blog, dengan mendakwa lebih 700,000 warga China akan dibawa masuk ke Forest City, dan mereka akan diberi kad pengenalan bagi membolehkan mereka mengundi pada pilihan raya umum akan datang.
Isnin lalu, Sultan Ibrahim dalam temuramah eksklusif bersama The Star mendakwa Dr Mahathir mewujudkan rasa takut dengan menggunakan isu kaum, hanya untuk memenuhi motif politiknya.
Sultan Johor bertitah, baginda amat tersinggung dan terluka dengan kenyataan politik yang diputar belit oleh ahli politik tertentu terhadap pelaburan China di negeri itu.
Baginda bertitah Dr Mahathir meletakkan kepentingan politik melebihi kepentingan rakyat Malaysia khususnya di Johor.
Dr Mahathir dalam suratnya kepada The Star bagi memberi maklum balas sebagaimana yang dikeluarkan pada Selasa bahawa beliau memetik laporan Bloomberg mengenai butiran membabitkan Forest City, yang mana katanya ia masih belum dicabar atau dinafikan.