KUALA LUMPUR: Pasaran hartanah Johor dijangka melonjak dalam tempoh lima tahun ini didorong oleh pelantikan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bermula 31 Januari lalu.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari, berkata dikenali sebagai pemimpin yang dinamik dalam industri hartanah, Yang di-Pertuan Agong bersedia untuk bekerjasama dengan lancar dengan kerajaan, mengemudi permulaan projek infrastruktur penting.
“Jangkaan perkembangan seperti sambungan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) ke Singapura, sistem transit rel ringan yang canggih, dan penubuhan zon kewangan khas berpotensi untuk mentakrifkan semula landskap ekonomi Johor dan membentuk semula pasaran hartanahnya.
“Juwai IQI percaya pemerintahan Yang di-Pertuan Agong baharu ini akan memberi gambaran pelaburan swasta yang besar dalam infrastruktur, membawa kepada limpahan ke dalam industri, pelancongan, serta hartanah kediaman dan komersial,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Ansari berkata, Yang di-Pertuan Agong sebelumnya, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, telah menjadi tonggak kestabilan semasa pandemik dan cabaran lain beberapa tahun kebelakangan ini.
“Yang di-Pertuan Agong baharu, Sultan Ibrahim, boleh membina kejayaan ini dengan tumpuannya pada infrastruktur, membantu mengubah prospek ekonomi dan hartanah.
“Kami melihat Johor untuk berkembang menjadi sebuah bandar utama, sama seperti Lembah Klang yang seterusnya. Ini adalah peluang keemasan untuk pembangunan hartanah, terutamanya di kawasan seperti Tuas Link dan sekitar stesen HSR baharu.
“Dalam visi ini, ekonomi negeri akan menjadi satu hingga tiga peratus lebih besar daripada yang sedia ada sehingga 2029, dan kenaikan ini akan berganda setiap tahun,” katanya.
Beliau menambah, pasukan Juwai IQI di Johor telah menyaksikan peningkatan daripada minat pelanggan terhadap hartanah Johor Bahru, terutamanya ekoran berita Kereta Api Singapura-Malaysia (SMRT).
“Projek yang digerakkan oleh Yang di-Pertuan Agong baharu dan Parlimen ini akan mewujudkan lebih banyak permintaan. Sejak separuh kedua tahun lalu, pasukan kami di Johor telah menyaksikan peningkatan 30 peratus dari segi transaksi.
“Cabaran terbesar kami sekarang ialah untuk mendapatkan ejen dan perunding yang mencukupi untuk mengendalikan semua urus niaga,” katanya.
Kashif berkata, Forest City adalah satu lagi lokasi yang akan mendapat manfaat, terutamanya dengan Zon Kewangan Khas yang bakal dilancarkan akhir tahun ini.
Katanya, zon berkenaan, ditambah dengan potensi pembinaan stesen baharu HSR di Forest City akan menjadikan kawasan itu sebagai zon pembangunan baharu yang akan mengurangkan tekanan daripada kawasan lain yang lebih padat di Johor.
“Forest City akan menjadi menarik kepada rakyat tempatan dan antarabangsa, kita akan melihat projek pembinaan baharu di sana,” katanya. -Berita Harian