Sultan jangan mudah murka, kata setiausaha agung Perkasa

Melalui posting di laman Facebook miliknya, Syed Hasan memuat naik kisah 7 pemimpin Melayu Johor era sebelum kemerdekaan yang membantah penubuhan Malayan Union walaupun ketika itu perjanjian berkenaan sudah ditandatangani sultan-sultan di negara ini, termasuk Sultan Johor ketika itu, Sultan Ibrahim.

“Sultan-sultan yang ada sekarang ini bolehlah mencontohi tindakan-tindakan oleh nenda-nenda baginda dahulu. Tidak mudah murka walau ditegur oleh tokoh-tokoh Melayu rakyat biasa.

“Hayati kisah 7 anak Muar memulakan penentangan terhadap penubuhan Malayan Union walaupun sudah ditandatangani oleh semua raja-raja Melayu dahulu,” kata Syed Hasan.

Beliau berkata, tindakan mereka itu adalah bagi memelihara kemuliaan institusi diraja Melayu.

“Tindakan pemimpin sebelum ini juga untuk menyelamatkan kemuliaan institusi raja-raja Melayu. Semoga kisah ini menginsafkan kita semua,” katanya.

Sebelum ini, mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ditegur Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kerana menyentuh berhubung isu Bangsa Johor.

Sultan Ibrahim menempelak Dr Mahathir dan berkata kenyataan itu dikeluarkan seakan-akan menunjukkan veteran berkenaan tidak mengetahui mengenai sejarah Johor.

Malah baginda turut menempelak Dr Mahathir yang disifatkannya sebagai punca kepada segala masalah yang berlaku di negara ini.

“Tun Mahathir merupakan punca kepada masalah di negara ini, pada ketika ini. Beliau tidak mempunyai hak untuk campur tangan dalam negeri saya. Saya tidak akan bertolak ansur dengan sikap beliau,” titah Sultan Johor.

Dr Mahathir ditanya mengenai pandangannya terhadap konsep Bangsa Johor pada sesi Wacana Perdana Ke-20 bertajuk ‘Hubungan Persekutuan-Negeri di Malaysia’ di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, Rabu.

Bekas perdana menteri itu berkata, perpaduan di kalangan rakyat Malaysia boleh diruntuhkan sekiranya rakyat lebih banyak mengamalkan konsep kenegerian.

Dr Mahathir berkata, rakyat seharusnya dikenali sebagai rakyat Malaysia, daripada bergelar bangsa Johor atau Kedah kerana negara akan makmur sekiranya semua bersatu.

Walaupun Johor boleh mempromosikan idea seperti “Bangsa Johor” yang merupakan hak kebebasan, tetapi Dr Mahathir berkata, tetapi ia tidak seharusnya menjurus kepada pemisahan daripada Malaysia.

Related Articles