“Sully”

Kuasa Allah mengatasi segala-galanya kerana kesemua 155 penumpang dan anak kapal TERSELAMAT walaupun pesawat membuat pendaratan cemas di sungai berkenaan dari ketinggian 3,000 kaki!

Siapa sangka selepas hampir tujuh tahun peristiwa itu berlalu, pelakon dan pengarah terkenal, Clint Eastwood tampil dengan filem terbarunya, SULLY, yang menceritakan kembali aksi cemas dan keberanian luar biasa juruterbang pesawat tersebut, Kapten Chesley B. ‘Sully’ Sullenberger ketika mengendalikan pendaratan cemas berkenaan. Wow!!!

Dengan menampilkan hero gred A Hollywood, Tom Hanks yang memegang watak Kapten Sully, sudah tentu filem ini adalah filem yang aku tunggu-tunggu kerana ia mengimbas peristiwa tujuh tahun lalu, memori sewaktu aku membaca peristiwa yang dikenali sebagai ‘Miracle On The Hudson’ itu di dada akhbar.

Mungkin ramai yang ingat filem ini ‘memfokuskan’ mengenai saat cemas, jeritan penumpang, keadaan huru-hara dalam pesawat dan sebagainya, namun jika itu yang dicari, anda mungkin akan sedikit kecewa. Ini kerana SULLY lebih memfokuskan perasaan juruterbangnya yang terpaksa berhadapan dengan agensi penyiasatan penerbangan (NTSB) yang menganggap tindakan ‘heroic’ beliau itu SALAH.

Ini kerana NTSB mendakwa Kapten Sully sebenarnya mempunyai peluang untuk mendarat dengan selamat di dua buah lapangan terbang berhampiran, sebaliknya membuat keputusan salah dengan membuat pendaratan cemas di sungai tersebut!

Dari situ segalanya bermula. Anda boleh lihat lakonan terhebat Tom Hanks menerusi mimik mukanya, dialog yang dituturkannya, ekspresi, suram, sedih, tekanan dan 1,001 macam perasaan yang beliau gambarkan dalam lakonannya itu.

Bayangkan di saat masyarakat Amerika menganggapnya wira, Kapten Sully pada masa yang sama berhadapan dengan dakwaan cuai dan hampir dihalau dari rumahnya sendiri kerana tidak mampu menjelaskan bayaran pada pihak bank setelah ‘direhatkan’ dari bertugas disebabkan disiasat oleh lembaga penyiasatan kes tersebut.

Jalan ceritanya saja sudah menarik, apatah lagi sentuhan sinematografi Tom Stern dan kesan efek khas CGI serta suntingan oleh Blu Murray. Itu belum dicampur lakonan terbaik oleh Tom Hanks, Aaron Eckhart yang begitu cemerlang menterjemahkan naskah lakonlayar yang ditulis Todd Komarnicki ini. Pengarah Clint Eastwood – tak perlu dipertikaikan lagi ‘air tangannya’.

Serius, bagi penggemar filem berdasarkan kisah benar, SULLY adalah filem yang tak boleh anda lepaskan peluang untuk menontonnya yang kini mula ditayangkan di pawagam-pawagam utama seluruh negara.

Aku bagi 5 BINTANG!

 

Dipetik dari Facebook Syahril A. Kadir

*Tulisan ini adalah pandangan peribadi pemilik akaun Facebook dan tidak mempunyai kaitan dengan pihak editorial TheRakyatPost.my

Related Articles