Selain mempunyai sifat empati terhadap anak-anak comel yatim piatu ini dek kerana peperangan yang melanda negara mereka menjadi faktor ramai rakyat Malaysia ingin memiliki anak-anak ini untuk dibawa pulang ke Malaysia untuk dipelihara.
Namun, mungkin hasrat rakyat Malaysia itu terpaksa dilupakan kerana sepanjang temuramah Sinar Harian dengan ibu bapa pelarian Syria di Jordan serta pengalaman rakyat Malaysia di Jordan hasrat tersebut sangat sukar direalisasikan.
Menurut Ketua Biro Kemanusiaan Haluan Siswa Jordan, Muhammad Sheikh Zaki berkata, dia pernah beberapa kali diminta oleh rakyat Malaysia untuk mengambil beberapa orang anak Syria untuk dijadikan anak angkat namun pada saat akhir hasrat tersebut terpaksa dilupakan dek kerana beberapa kekangan.
“Ada orang kaya Malaysia yang minta saya tolong carikan anak angkat Syria di kem pelarian Syria di Jordan.
“Namun di saat akhir si empunya permintaan (orang kaya) tersebut terpaksa membatalkan hajatnya,” katanya kepada Sinar Harian.
Faktor kesukaran
Jelas Muhammad faktor rakyat Malaysia menarik diri adalah kerana kesukaran keluarga mereka untuk melepaskan anak-anak mereka di tangan orang luar.
“Dari segi undang-undang insya-ALLAH kita boleh selesaikan walaupun berhadapan dengan cabaran yang agak mencabar, kerana kita kena melalui banyak proses.
“Yang kes rakyat Malaysia itu, apa yang membuatkan dia membatalkan hasrat adalah kerana jika dia mahu mengambil anak angkat itu dia perlu membawa sekali keluarga terdekat atau sebuah keluarga itu untuk dijaga di Malaysia.
“Dari satu segi saya melihat bahawa walaupun mereka susah namun kasih sayang antara mereka tidak boleh dipisahkan,” katanya.
Sementara itu, Muhammad berkata, keluarga Syria kini juga berhati-hati untuk memilih keluarga untuk mengambil anak angkat.
”Ada orang-orang tertentu yang mengambil kesempatan terhadap anak-anak pelarian ini, jadi kini mereka lebih berhati-hati,” katanya lagi.
Kahwini gadis Syria
Dalam pada itu, ketika ditanya bagaimana caranya untuk mengahwini gadis-gadis Syria, Muhammad berkata, keluarga Syria sangat mengalu-alukan rakyat Malaysia yang berhasrat mengakhiri gelaran bujang dengan gadis Syria.
“Mereka sangat mengalu-alukan,” katanya.
Sementara itu, menurut Muhammad dia menasihati agar mereka yang berhasrat memiliki gadis Syria agar bersikap jujur dan mempunyai kewangan kukuh.
“Apa yang keluarga mereka tanya adalah, adakah mereka mampu untuk menjaga anak mereka.
“Daripada segi duit hantaran dan sebagainya mereka boleh berbincang dengan keluarga tersebut,” katanya. – Sinar Harian