SUK Negeri Sarawak dilantik lembaga pengarah Petronas

Selain pelantikan Morshidi, pengisian jawatan dalam operasi PETRONAS di negeri itu juga akan mengutamakan anak tempatan dengan permulaan 192 kekosongan jawatan dijangka diiklan dalam akhbar tempatan secepat mungkin.

Keputusan berkenaan dicapai hasil pertemuan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem, bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Datuk Seri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, di Putrajaya, kelmarin.

Adenan dalam sidang media sejurus kembali dari ibu negara petang tadi berkata, pelantikan Morshidi mewakili kerajaan Sarawak adalah satu daripada tujuh inisiatif bagi meningkatkan penyertaan Sarawak dalam PETRONAS.

“Kerajaan negeri berpuas hati dengan perundingan itu dan akan menyemak semula 586 permohonan permit kerja kakitangan PETRONAS di negeri ini yang dibekukan sebelum ini.

“Rakyat Sarawak akan diberi keutamaan mengisi kekosongan jawatan dan jika PETRONAS gagal mencari calon sesuai, syarikat itu perlu merujuk kepada kerajaan negeri jika mahu menggantikan dengan pekerja luar Sarawak,” katanya.

Difahamkan, Adenan berada di ibu negara sejak kelmarin bagi mengadakan pertemuan bersama Najib berhubung isu PETRONAS, selain membincangkan fasa susulan penurunan kuasa pentadbiran Persekutuan kepada kerajaan negeri. -BH Online

Related Articles