Sudah Ada Kepastian – Anwar Jawab Isu Permohonan Najib

by Anis

KUALA LUMPUR: Lembaga Pengampunan sudah mempunyai keputusan berhubung pengampunan Datuk Seri Najib Razak.Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengumuman itu akan dibuat dalam masa terdekat.

“Sudah ada kepastian (pengampunan Datuk Seri Najib).“Tunggu pengumuman Lembaga Pengampunan Diraja,” katanya selepas selesai makan tengahari bersama rakyat di Medan Selera Pertama Kompleks, hari ini.

Pengampunan ini berkaitan dengan kes SRC International.Najib telah disabitkan kesalahan dan dihukum penjara 12 tahun pada tahun 2022 dan didenda sebanyak RM210 juta.Media sebelum ini melaporkan keputusan Lembaga Pengampunan membabitkan bekas Perdana Menteri itu ada dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut dilaporkan berkata mesyuarat Jemaah Menteri ada dimaklumkan mengenai perkara itu tetapi ‘sepintas lalu’ saja.

Namun, Saifuddin Nasution menjelaskan, Kabinet tiada bidang kuasa untuk mengumumkan keputusan Lembaga Pengampunan itu.

Lembaga Pengampunan yang bersidang pada Isnin lalu, dilaporkan sudah membuat keputusan mengenai permohonan Najib tetapi hingga kini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan.

Namun media Singapura, Channel News Asia (CNA), sebelum ini melaporkan hukuman ke atas Najib dikurangkan kepada enam tahun. – MalaysiaGazette

Related Articles