Pertemuan Pengerusi BN dengan kedua-dua pemimpin itu dikatakan berlaku secara berasingan dan difahamkan bertujuan demi penyatuan parti dan komuniti India yang berpecah akibat krisis dalaman parti selama ini.
Pertemuan yang diadakan secara berasingan dengan Najib itu juga dikatakan bertujuan menyatukan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.
Sumber BN juga berkata Najib mengesahkan pertemuan dengan kedua-dua pemimpin MIC itu dalam mesyuarat komponen BN semalam yang mana keadaan semasa MIC turut dibangkitkan dalam mesyuarat itu.
Najib dikatakan ‘berpuas hati’ dengan inisiatif dan segala langkah pemulihan yang dilaksanakan Subramaniam untuk menyelesaikan masalah dalaman MIC selepas mengambil alih kepimpinan parti tersebut dalam keadaan begitu kritikal sejak tahun lalu.
Sumber BN itu juga mendakwa kononnya kem Palanivel bersedia untuk mengadakan rundingan damai demi penyatuan komuniti dan parti India itu, demi kesejahteraan BN.
Penyokong Palanivel juga dikatakan telah bersetuju dengan inisiatif tersebut dan memberi kuasa penuh kepada bekas Naib Presiden MIC, Sothinathan untuk berunding dengan Subramaniam bagi menamatkan krisis yang menyelubungi parti dan menyatukan ahli-ahli parti yang terbahagi dua.
Sehubungan itu, Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan dijangka membuat pengumuman berkaitan perkara ini dalam masa terdekat. – Malaysia Nanban