Bagaimanapun, taktik 34 orang membabitkan 17 pasangan kekasih bagi mengaburi mata pihak berkuasa kerana menyangka operasi tidak dijalankan pada waktu siang, tidak menjadi apabila mereka dicekup dalam operasi Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bermula seawal jam 12 tengah malam dan berakhir 12 tengah hari, Ahad.
Di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, sebanyak 12 pasangan ditahan manakala masing-masing dua pasangan di Marang dan Kemaman serta satu pasangan di Dungun membabitkan kesalahan khalwat dan persediaan melakukan persetubuhan luar nikah.
Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim berkata, semua yang ditahan termasuk kakitangan kerajaan berusia antara 17 hingga 40-an.
Lebih mengejutkan, ada antaranya masih berstatus suami dan isteri orang, selain ada pasangan sanggup datang dari Selangor dan Pahang semata-mata ingin bermadu asmara di Kuala Terengganu.
“Sebelum serbuan dilakukan iaitu kira-kira jam 12 tengah malam, kita sudah membuat pemantauan di beberapa hotel bajet dan ketika itu, ada antara bilik tidak berpenghuni walaupun sudah didaftarkan kerana dipercayai masih berada di beberapa lokasi tumpuan menyambut tahun baru, sebelum masuk ke bilik hotel masing-masing.
“Selain itu, ada beberapa bilik didapati hanya ada wanita yang tinggal bersendirian, dipercayai menunggu pasangan yang akan mula memasuki bilik itu pada awal pagi kerana menyangka kita tidak akan melakukan operasi pada waktu siang,” katanya ketika ditemui di Pejabat JHEAT di sini, semalam.
Menurut Wan Mohd, dalam serbuan itu juga, ada antara pasangan dicekup dalam keadaan mengaibkan, selain ada yang tidak mahu memberi kerjasama dan bersikap agresif untuk melepaskan diri sehingga memaksa penguat kuasa menggarinya.
Jelasnya, operasi dijalankan hasil maklumat awam dan intipan dijalankan pihaknya, seiring hasrat kerajaan negeri yang mahu operasi mencegah jenayah syariah dilakukan secara menyeluruh, memetik laporan Sinar Harian.