Suami isteri culik bayi direman lima hari

Tertuduh, Ahmad Abdul Muizz Abd Halim, 26 dan Nur Rashedah Che Faizo, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Idham Abdul Ghani dan kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menculik bayi perempuan berusia lima hari yang belum diberi nama dari Wad 2 Kanak-Kanak Hospital Tanah Merah jam 6.47 petang pada 15 November lalu.

Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamim sebanyak RM10,000 terhadap setiap tertuduh dan menetapkan 22 Disember sebagai tarikh sebutan semula kes.

Akhbar sebelum ini melaporkan, bayi perempuan berusia lima hari itu hilang dari Hospital Tanah Merah yang dipercayai diculik.

Kejadian itu disedari jam 9 malam sebaik kedua ibu bapa bayi berkenaan tiba di hospital untuk melihat anak mereka, sebelum dimaklumkan pihak hospital bahawa bayi berkenaan sudah dibawa keluar oleh pasangan suami isteri pada jam 6.47 petang.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad, berkata tindakan pantas polis berjaya mengesan dan menyelamatkan bayi berkenaan yang berada di Kampung Selising, Pasir Puteh jam 10 malam.

Katanya, siasatan awal polis mendapati, punca kejadian dipercayai disebabkan suspek wanita mengalami kemurungan melampau akibat mengalami keguguran pada Jun lalu. –BH Online

Related Articles