Beliau berkata, kemenangan Aung San Suu Kyi dalam pilihan raya Myanmar baru-baru ini mulanya memberi harapan kepada pertubuhan itu bahawa Myanmar akhirnya akan memasuki era baharu untuk mewujudkan kerajaan yang inklusif tanpa pengasingan etnik atau agama.
“Namun di sebalik kemajuan yang dicapai dalam proses demokrasi dan peralihan kepada kepimpinan baharu, terdapat bukti mengenai kempen keganasan dan ugutan secara berterusan yang dijalankan terhadap masyarakat Islam Rohingya di Myanmar.
“Ini jelas terkandung dalam laporan yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia Zeid Ra’ad Al Hussein pada 20 Jun 2016 yang mendokumentasi pelbagai pencabulan hak asasi manusia, terutama terhadap masyarakat Rohingya,” katanya.
Yousef menyampaikan ucapan dalam Bahasa Arab ketika berucap kepada delegasi semasa Sesi Luar Biasa Majlis Menteri-menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengenai Situasi Minoriti Islam Rohingya di Myanmar, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan diedarkan kepada media.
Yousef berkata, disebabkan dasar-dasar pihak berkuasa Myanmar, beribu-ribu masyarakat Rohingya dan pelarian lain mencari perlindungan di negara jiran dan jumlah mereka dijangka meningkat kerana mereka dinafikan hak untuk kembali ke tanah air sendiri.
“Keadaan ini menimbulkan ancaman kepada kestabilan rantau Asia yang luas untuk jangka masa terdekat dan jangka panjang,” katanya.
Susulan perkembangan yang malang itu, Yousef menegaskan bahawa nasib masyarakat Rohingya tidak boleh diabaikan dan dianggap sebagai masalah dalaman negara ersebut.
“Ia merupakan isu hak asasi manusia dan satu daripada isu yang menimbulkan kebimbangan global,” kata beliau.
Oleh itu, beliau menyeru negara-negara anggota OIC, terutama dalam Asean untuk meneruskan usaha mendesak pihak berkuasa Myanmar supaya membenarkan akses kepada bantuan kemanusiaan dan siasatan insiden itu dijalankan secara telus.
“Melindungi minoriti Islam dengan cara ini menjadi obligasi semua negara anggota di bawah Piagam OIC,” kata beliau.
Beliau sekali lagi memuji peranan utama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memperjuangkan isu tersebut dan situasi meruncing yang dihadapi oleh masyarakat Islam Rohingya.
“Saya sama-sama memuji Malaysia dan beberapa negara anggota OIC yang lain atas bantuan kemanusiaan yang dihulurkan kepada pelarian yang memerlukan bantuan,” katanya. – Bernama