SPRM tahan 19 pegawai agensi kerajaan di Sabah, rampas RM4.2 juta

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, kesemua suspek lelaki yang berumur antara 29 hingga 59 tahun itu ditahan dalam operasi fasa kedua susulan operasi pertama pada 4 Oktober lalu.

Katanya, operasi berkenaan dilancarkan berikutan penemuan maklumat tambahan dan bukti yang diperoleh hasil keterangan mereka yang diambil sebelum ini serta analisis dokumen-dokumen yang dirampas.

“Dalam operasi yang dijalankan serentak di 27 lokasi melibatkan agensi kerajaan berkenaan di peringkat bahagian dan daerah di seluruh Sabah pada 19 Oktober (semalam) itu, SPRM turut merampas wang tunai kira-kira RM4.2 juta daripada beberapa suspek.

“SPRM turut membekukan beberapa akaun bank yang mempunyai wang berjumlah kira-kira RM3.6 juta milik beberapa orang suspek tersebut,” kata Azam dalam kenyataan di Kota Kinabalu pada Khamis. – Bernama

Related Articles