SPRM perlu siasat Guan Eng seperti siasat KBS, kata KJ

by SM Amin

Khairy berkata bahawa sesiapa sahaja yang terlibat dengan kes berprofil tinggi tidak seharusnya terkecuali daripada siasatan penuh oleh pihak berkuasa.

“Sama ada kes KBS atau kes yang melibatkan orang lain yang berprofil tinggi mestilah siasatan yang sepenuhnya di buat, itu yang penting. Prinsipnya ialah ketelusan dan prinsip dia ialah siasatan yang menyeluruh tidak kira siapa yang terlibat.

“Yang penting ialah rakyat nak melihat siasatan yang lengkap,” katanya tanpa menyebut nama ketua menteri tersebut di dalam satu sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat UMNO di ibu negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan skandal pembelian banglo di bawah harga pasaran oleh Guan Eng seperti yang didedahkan oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahya Khamis lalu di Dewan Rakyat.

Dalam perkembangan berbeza, Khairy menjelaskan bahawa dirinya tidak melihat isu yang melanda KBS merupakan satu gerakan sabotaj untuk menjatuhkan karier beliau di dalam arena politik negara.

Sebaliknya, beliau berpendirian bahawa perkara ini perlu disiasat secara telus memandangkan rasuah merupakan satu jenayah.

“Rasuah adalah rasuah, saya tak boleh kata dengan bagi alasan ini satu konspirasi politik nak menjatuhkan saya. Rasuah adalah jenayah dan kalau rasuah itu berlaku mesti kita ambil tindakan. Saya tak akan berlindung di belakang alasan ini, konspirasi politik atau apa lah…apa yang salah, memang salah.

“Kita kena hadapi perkara ini dan jujur dengan rakyat,” katanya lagi.

Sebelum ini, SPRM mendedahkan seorang setiausaha bahagian di sebuah kementerian ditahan pada Jumaat lalu selepas disyaki terlibat dalam kegiatan sindiket penyalahgunaan dana kerajaan mencecah lebih RM100 juta.
Pegawai kanan berusia 56 tahun itu menerima suapan dianggarkan RM20 juta dan menjalani kehidupan mewah.

Related Articles