SPRM kenal pasti pegawai dan kakitangan DBKL amal salah laku rasuah

Menurut sumber, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi memperoleh beberapa dokumen dan maklumat yang dapat membantu siasatan kes membabitkan salah guna kuasa itu.

Ujarnya, kesemua pegawai dan kakitangan terbabit dikatakan sewenang-wenangnya mendapat kemudahan membuat tempahan tanpa bayaran pendahuluan.

“Hasil siasatan awal, memang benar kita dapati ramai daripada mereka memperoleh kemudah­an itu tanpa membuat pembayaran pendahuluan dan mereka hanya menandatangani perjanjian jual beli (S&P) dengan pemaju kononnya urusan berjalan deng­an sah.

“Setakat ini, kita telah mengenal pasti beberapa individu yang terlibat dan masih mengumpul dokumen dan maklumat berkaitan sebelum tindakan selanjutnya dibuat,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia mendedahkan terdapat salah guna kuasa segelintir pegawai kanan sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di Lembah Klang bagi memperoleh kondominium dan apartmen terutamanya di lokasi strategik.

Perkara itu berlaku berikutan terdapat pakatan antara pegawai tinggi dan pemaju projek perumahan apabila mereka dikatakan telah membuat tempahan tanpa bayaran pendahuluan.

Sebaik sahaja projek itu siap dan mendapat sijil layak menduduki (CF) daripada PBT, pemaju akan mengambil semula unit yang ‘dibeli’ oleh pegawai PBT terlibat dan menjual kepada pembeli sebenar dengar kadar yang lebih tinggi bagi mengaut keuntungan.

Sementara itu, pengarah siasatan SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan mengenai perkara itu.

Katanya, pihaknya sedang menjalankan siasatan bagaimana perkara itu berlaku dan siasatan ditumpukan di bawah kesalahan rasuah dan salah guna kuasa.

Related Articles