SPRM Kedah rampas RM1.1 juta wang tunai di rumah penolong jurutera kanan

Pengarahnya Datuk Mohd Fouzi Muhammad berkata, wang terbabit ditemukan tersorok di dalam dinding bilik tidur utama dalam serbuan oleh sepasukan 10 pegawai SPRM di rumah suspek, di Kampung Sungai Daun, Guar Cempedak, 3 petang Khamis.

“Kita percaya ada lagi wang yang belum kita temukan dan jumlahnya boleh mencecah sehingga RM3 juta,” katanya dalam sidang media di Alor Setar.

Suspek berusia 56 tahun itu diberkas di rumahnya pada 11.30 pagi Rabu kerana dipercayai menerima rasuah daripada kontraktor, melibatkan 30 projek penyelenggaraan dan naik taraf jalan di daerah Sik sejak 2012.

Mohd Fouzi berkata ketika serbuan, pasukan SPRM mendapati dinding kayu bilik tidur utama di rumah itu telah diubah suai dan apabila diperiksa menemukan wang tunai yang diletak di dalam bekas coklat serta bekas plastik.

Beliau berkata rampasan itu adalah yang terbesar bagi SPRM Kedah untuk tahun ini.

Suspek direman selama tujuh hari bermula Khamis bagi membantu siasatan menurut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Mohd Fouzi berkata setakat ini sebanyak 20 saksi telah diambil keterangan berhubung kes itu. -Bernama

Related Articles