SPRM dalam kenyataan pada Sabtu berkata pasukan itu ditubuhkan bagi menutup ruang dan peluang daripada berlakunya ketidakpatuhan dalam pelaksanaan projek-projek di DBKL dengan meneliti punca-punca kelemahan yang wujud dan memperakukan cadangan serta nasihat bagi mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk mengatasinya.
Pasukan Petugas Khas yang diketuai Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki itu turut dianggotai pegawai-pegawai daripada Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM, Bahagian Siasatan SPRM dan Jabatan Integriti DBKL.
“Pembentukan pasukan tersebut merupakan satu usahasama yang diambil selepas beberapa pegawai kerajaan disiasat baru-baru ini atas kesalahan salah guna kuasa dan penyelewengan.
“Sebagai permulaan, pasukan ini telah mengenal pasti lima isu berkaitan amalan, sistem dan tatacara kerja yang melibatkan lima jabatan di DBKL,” jelas kenyataan itu.
Baru-baru ini, seorang kakitangan DBKL bergelar ‘Datuk Seri’ disiasat SPRM bagi kesalahan rasuah manakala lebih 30 pegawai dan kakitangan DBKL disyaki terlibat dalam salah guna kuasa melibatkan pembelian kondominium dan pangsapuri di ibu negara.
Antara isu yang dikenal pasti ialah pengurusan projek perumahan penswastaan, garis panduan pembelian hartanah oleh pegawai dan kakitangan, pemilikan dan pengisytiharan harta, pengurusan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) serta pemantauan pembangunan tanah di ibu negara.
Menurut kenyataan itu, pasukan berkenaan bertanggungjawab merangka beberapa cadangan kepada pihak DBKL untuk mengukuhkan lagi tatacara kerja pegawai dan kakitangan serta sistem dan prosedur organisasi tersebut.
SPRM berharap kerjasama antara dua pihak itu akan membuka ruang kepada agensi-agensi lain untuk turut bekerjasama dengan SPRM bagi membendung perbuatan salah guna kuasa dan penyelewengan sekaligus memperkukuhkan lagi tatacara kerja dalam sektor awam. – Bernama