SPR nafi persempadanan semula untuk kepentingan pihak tertentu

Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd. Hashim Abdullah berkata, pihaknya menjalankan peranan dan tanggungjawabnya sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kuasa untuk meluluskan syor-syor tersebut terletak di bawah Dewan Rakyat dan setiap ahli Parlimen boleh membahaskannya semasa pembentangan di dewan tersebut nanti,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohd Hashim menambah, adalah terlalu awal bagi SPR memberi sebarang ulasan kepada umum mengenai tuduhan kepada badan ini kerana proses pameran sedang dijalankan dan ia bukan lagi keputusan muktamad serta perlu mendapat kelulusan Dewan Rakyat sebelum dilaksanakan.

SPR mula mempamerkan Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah selama sebulan bermula 15 Sept lepas.

Dalam pada itu, Mohd Hashim turut menyarankan agar mana-mana pihak yang berkelayakan di bawah perundangan dalam membuat apa-apa bantahan, mengambil peluang dalam tempoh masa ditetapkan untuk turut serta dalam perundangan dan bukannya membuat tuduhan melulu terhadap badan itu.

“SPR amat mengalu-alukan setiap bantahan dan representasi, namun ia perlu dikemukakan secara rasmi mengikut saluran dan perundangan yang ditetapkan,” katanya. –Tamil Nesan

Related Articles