Apatah lagi Ahli Parlimen Gua Musang itu seorang tokoh yang cukup disegani dalam dunia politik tanah air baik kawan mahupun lawan amat menghormati beliau.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, berkata sudah tentu keputusan itu memberi tamparan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, langkah diambil Tengku Razaleigh itu memberikan impak besar kepada UMNO kerana beliau adalah antara tokoh hebat dalam arena politik tanah air.
“Sokongan Tengku Razaleigh ini bukan sembarangan sokongan. Beliau tokoh veteran UMNO yang sudah lama dalam politik.
“Rekod Tengku Razaleigh juga sangat baik dan kalau kita masih ingat Tengku Razaleigh juga pernah bertanding menawarkan diri bertanding sebagai Presiden UMNO melawan (Tun) Dr Mahathir Mohamad dulu.
“Saya percaya, ia adalah satu perkembangan menarik kerana selama ini ramai yang cakap Tengku Razaleigh lebih cenderung memihak kepada Dr Mahathir,” katanya pada media selepas melawat gerai pameran sempena Karnival Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Wilayah Timur 2016 di Kuantan, di sini, hari ini.
Tengku Razaleigh menandatangani deklarasi sokongan di hadapan Najib pada pertemuan antara pemimpin UMNO Kelantan dan Perdana Menteri yang berlangsung di Bangunan Parlimen, Khamis lalu.
Deklarasi itu kemudian diserahkan kepada Najib yang juga Presiden UMNO oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed.