SHAH ALAM: Sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PN Selat Klang, Abdul Rashid Asari kepada kerajaan negeri mengukuhkan lagi pentadbiran kerajaan perpaduan di negeri itu, kata Amirudin Shari.
Menyifatkan sokongan bekas Pengerusi Bersatu Selangor itu sebagai sesuatu yang di luar jangkaan, menteri besar berkata tindakan tersebut pasti menyuntik lebih motivasi kepada pendukung PH khususnya ahli PKR di semua peringkat untuk terus berjuang mempertahan serta memperkukuh kerajaan negeri.
“Itu pilihan beliau, saya rasa beliau sedar mengenai sebarang kesan di sebalik tindakan itu khususnya selepas pindaan Perlembagaan Bersatu,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa nersama komuniti pendidik Selangor di Shah Alam semalam.
Pada 6 Mac lepas, Abdul Rashid mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Amirudin dan mendakwa keputusan itu dibuat setelah dia meneliti titah ucapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memuji pentadbiran kerajaan negeri berada di landasan tepat demi kemajuan negeri serta kesejahteraan rakyat.
Amirudin yang juga Naib Presiden PKR tidak menolak kemungkinan berlaku pertambahan sokongan dalam kalangan Adun pembangkang, antaranya disebabkan faktor pemilihan Bersatu yang bakal diadakan kelak.
Dia turut mengulas cadangan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Zaid Ibrahim agar PH menjalin kerjasama dengan Bersatu sebelum PRU akan datang.
Pengerusi PH Selangor itu berkata gabungan tersebut memiliki perancangan sendiri dalam persiapan menghadapi pilihan raya.
“… kami boleh menganalisis cadangan itu namun semestinya kami memiliki perancangan sendiri,” katanya.
Terdahulu, Amirudin meluangkan masa untuk berbuka puasa bersama kira-kira 1,500 warga pendidik di Selangor.
Pada majlis itu, dia turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM840,000 kepada persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) seluruh Selangor yang diwakili Pengarah Pendidikan Negeri Jafri Abu. – Bernama