Siti Kassim dipanggil polis kerana tunjuk isyarat lucah ketika Wacana

Memetik posting akaun Facebook miliknya, difahamkan Siti akan memberi keterangan kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada pukul 8 malam ini.

“Adakah saya menyesal? Dalam keadaan itu saya tidak mempunyai cara lain untuk meluahkan perasaan terhadap mereka yang mengganggu saya. Ya, saya akan melakukannya kepada sesiapa sahaja yang layak untuk mendapat ‘penghormatan jari’,” kata Siti, memetik laman Facebook miliknya.

Sekeping gambar isyarat jari tengah dengan perkataan “Hold your head high and your middle fingr higher”, (Angkat tinggi kepalamu dan jari tengahmu lebih tinggi lagi) turut dimuat naik bersama status tersebut.

Siti dilaporkan menunjukkan isyarat lucah ‘jari tengah’ terhadap hadirin Wacana Sinar sebelum ini selepas pertanyaan beliau berhubung Akta 355 mendengar reaksi negatif daripada penonton.

Dalam sesi soal jawab program itu, Siti bangkit mempertikaikan hujah-hujah ahli panel yang terdiri daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan yang menyokong pindaan akta tersebut.

Dalam wacana itu, Siti turut mempersoalkan mengapa beliau terpaksa mengikut undang-undang tersebut sedangkan urusan agama adalah antara beliau dan tuhan.

Related Articles