Silakan fitnah saya, kata Kazim Elias

Beliau yang berucap di dalam Ceramah Perdana Daerah Manjung di Stadium Mini Majlis Perbandaran Manjung di Perak malam tadi berkata demikian dipercayai merujuk kepada kes melibatkan maahad tahfiz miliknya.

“Jika ada orang yang cuba fitnah saya, fitnah anak-anak murid saya… silakan. Kami tidak takut kerana kami selalu berdamping dengan al-Quran.

“Jadikan al-Quran sebagai budaya kita. Hidupkan al-Quran pasti kita rasa selamat.

“Semua orang ada masalah, termasuk saya yang sentiasa ada ujian namun tidak perlu gentar jika kita sentiasa berdamping dengan al-Quran,,” katanya di dalam ceramah berkenaan.

Semalam, dalam satu sidang media, Mohd Kazim berkata, beliau akan memberikan kerjasama penuh kepada polis melakukan siasatan berhubung dakwaan pencabulan seksual dan seks luar tabii di maahad tahfiz miliknya.

Beliau juga telah membuat satu laporan polis terhadap artis Wardina Safiyyah dan juga aktivis sosial, Syed Azmi Alhabshi ekoran dakwaan seorang pelajar diliwat dan dicabul di Pusat Pendidikan Al Barakah.

Beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh kira-kira jam 3.50 petang, pada Jumaat.

Mohd. Kazim dalam sidang akhbar khasnya berkata, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang cuba mencemarkan imejnya dan pusat pendidikan tersebut dengan menyebarkan fitnah di laman sosial.

Menurutnya, sebagai seorang penceramah bebas, beliau sememangnya sentiasa dikecam, difitnah dan dibangkitkan kemarahan namun isu kali ini tidak lagi melibatkannya seorang malah agama Islam dan hufaz-hufaz muda di sekolah itu.

Related Articles