Zambry berkata, perkara itu amat serius kerana pihak yang tidak bertanggungjawab itu cuba mencemarkan nama Pejabat Menteri Besar.
“Saya telah mengarahkan pegawai saya membuat laporan polis berhubung perkara itu untuk pihak polis menjalankan siasatan dan mengesan individu yang terbabit,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Negeri di Ipoh.
Zambry berkata, Pejabat Menteri Besar menerima surat palsu itu yang difotostat dan menggunakan kepala surat Pejabat Menteri Besar.
Katanya, surat itu juga memaklumkan kononnya Zambry mengisytiharkan individu yang tidak dikenali iaitu Sultan Badaruddin Alang Diwakis sebagai Sultan Perak ke-36.
“Surat itu dihantar begitu sahaja dan tidak tahu daripada siapa,” katanya.
Menurutnya, pihak yang tidak bertanggungjawab itu memberi surat yang telah difotostat bukan menerusi faks atau sebagainya bagi mengelak dirinya dikesan. – Bernama