Siasat dakwaan Soros biaya Bersih

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, perkara itu harus disiasat secara emperikal iaitu berdasarkan pemerhatian dan ujian saintifik.

“Soalnya bukan ‘siapa’ dibiayai dan ‘kenapa’. Apa yang harus ditanya ialah penglibatan pihak luar terhadap politik negara.

“Ini kerana politik Malaysia mengikut acuan yang sesuai dengan politik negara kita. Tidak perlulah, jika benar melibatkan pihak luar apatah lagi pembia­yaan akti­viti politik sama ada menentang atau menyokong mana-mana orga­nisasi atau individu,” katanya kepada pemberita pada pelancaran buku bertajuk Being Abdullah Ahmad Badawi: The Authori­sed Biography, di ibu negara pada Isnin.

Menurut laporan media pada Isnin, satu kumpulan asing dipengerusikan hartawan George Soros membiayai beberapa orga­nisasi tempatan dalam program­nya mempengaruhi keputusan pilihan raya umum akan datang.

Ditanya mengenai gesaan beberapa pemimpin tempatan supaya siasatan dijalankan ke atas organisasi yang terlibat, Ahmad Zahid berkata, ia akan dilakukan sekiranya terdapat laporan polis.

“Biar laporan polis dilakukan. Kita juga akan lakukan tindakan sebagaimana saranan itu. Kita tidak tertakluk pada sebarang spekulasi atau saranan,” katanya. – Bernama

Related Articles