Lawatan itu, bersempena setahun kemangkatan anakanda baginda, Tunku Laksamana Johor Almarhum Tunku Abdul Jalil, pada 5 Disember 2015 akibat kanser hati pada usia 25 tahun.
Keberangkatan tiba baginda di perkarangan makam berkenaan pada 8.10 pagi tadi, disambut oleh Imam Makam Diraja, Masri Sapiran @ Sapuan dan Penolong Imam Makam Diraja Azhari Tarpani.
Upacara dimulakan dengan bacaan surah Yasin diikuti bacaan surah al-Ikhlas sebanyak tiga kali, surah al-Falaq dan al-Nas sekali, sebelum diakhiri dengan bacaan surah al-Fatihah dan doa.
Baginda sultan kemudiannya menyiram air mawar dan menabur bunga di makam berkenaan.
Sultan Ibrahim dilihat sebak dan beberapa kali mengesat air mata sebelum menyiram air pada makam anakanda baginda.
Dalam pada itu, Masri, 45 berkata, baginda sering menziarahi Makam diraja ini dan akan meluangkan masa hampir setengah jam menziarah makam Almarhum Tunku Abdul Jalil.
“Kebiasaannya, baginda akan tiba di pekarangan makam pada jam 8 pagi atau 9.10 pagi setiap hari kecuali baginda ada urusan di luar negara.
“Saya melihat Tuanku Sultan Ibrahim sebagai seorang yang amat penyayang, dan baginda juga amat disayangi rakyat Johor tanpa mengira latar belakang dan bangsa,” katanya ketika ditemui Bernama di Makam Diraja Mahmoodiah.
Masri telah bertugas selama 25 tahun sebagai Imam Makam Diraja dan pernah berkhidmat dengan ayahanda Sultan Ibrahim, Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail yang mangkat pada 22 Jan 2010, pada usia 77 tahun. – Bernama