Serpihan di Mozambique hampir pasti milik MH370

Menteri Infrastruktur dan Pengangkutan Australia, Darren Chester berkata, laporan itu menunjukkan kedua-dua serpihan adalah daripada sayap pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang hilang itu.

“Penstensilan pada kedua-dua bahagian serpihan memberikan penyiasat bukti hubung kait. Fon dan warna pada nombor yang distensilkan pada bahagian pertama menyamai apa yang digunakan Malaysia Airlines.

“Bahagian kedua mengandungi perkataan ‘No Step’ dengan penstensilan konsisten seperti yang digunakan Malaysia Airlines dan sebuah pengikat yang dipasang pada bahagian itu membuktikan hubung kait serpihan berkenaan dengan talian pengeluaran pesawat itu.

“Saya berterima kasih kepada pasukan daripada ATSB, Geoscience Autralia, Boeing dan Australian National University di atas tugas mereka,” katanya dalam satu kenyataan media di laman sesawang kementerian itu, hari ini.

Chester berkata, pencarian pesawat hilang itu diteruskan di 20,000 kilometer persegi terakhir.

Beliau berkata, kapal China, Dong Hai Jiu 101 yang terlibat dalam pencarian itu akan digerakkan semula ke kawasan terbabit, selepas penemuan peralatan sonar yang hilang ketika menyertai pencarian sebelum ini.

“Pada 21 Mac lalu, kegagalan penyambung kabel penunda mengakibatkan kehilangan peralatan sonar daripada Dong Hai Jiu 101. Ia akan diperiksa dan diuji, sebelum kapal itu kembali ke kawasan pencarian,” katanya.

Kedua-dua serpihan itu ditemui di Mozambique pada Disember tahun lepas dan Februari tahun ini.

Pesawat malang yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Ketika ini, usaha mencari dijalankan di selatan Lautan Hindi, di mana laluan penerbangan MH370 dipercayai berakhir. – Bernama

Related Articles