Serpihan itu ditemui pada Mei lalu dan kemudiannya dianalisis oleh pakar-pakar di Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) yang mengetuai pencarian pesawat di kawasan terpencil di laut dan luar pantai barat negara itu.
“Penyiasat menggunakan beberapa bahagian yang ditemui pada serpihan untuk mengaitkannya dengan pesawat Boeing 777 yang hilang itu,” kata agensi tersebut yang dipetik laporan portal The Guardian pada Jumaat.
Menteri Pengangkutan Malaysia, Liow Tiong Lai juga turut mengesahkan perkara itu.
Beberapa keping bangkai pesawat telah terdampar di sekitar pantai Lautan Hindi sejak pesawat tersebut hilang bersama dengan 239 orang di atas kapal terbang itu semasa penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.
Setakat ini, serpihan-serpihan tersebut masih tidak dapat membantu mengecilkan lokasi utama bangkai kapal terbang itu untuk para penyiasat mengesan rakaman data penerbangan yang akan menjelaskan misteri pesawat tersebut menyimpang dari laluan asal.
Misi pencarian dijangka selesai pada Disember tahun ini dengan keluasan sebesar 120,000 kilometer persegi di zon carian Lautan Hindi.
Pakar lautan telah menganalisis sayap kepak yang dijumpai di Tanzania dan juga Pulau La Reunion untuk mengenal pasti potensi kawasan carian baru melalui ‘drift modelling’.
Walau bagaimanapun, Malaysia, Australia dan China telah mengumumkan pada Julai lalu bahawa misi pencarian ini akan dihentikan hinggalah ada bukti baru yang menunjukkan lokasi spesifik pesawat tersebut.