Pesawat MH370 hilang pada Mac 2014 bersama 239 penumpang dan krew tidak lama selepas berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Penyiasat percaya seseorang mungkin dengan sengaja mematikan transponder pesawat itu sebelum mengalihkan laluannya ribuan kilometer menghala ke Lautan Hindi.
“Pasukan itu telah mengesahkan bahawa kedua-dua keping serpihan dari Afrika Selatan dan Pulau Rodrigues hampir pasti dari MH370,” kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam satu kenyataan.
Liow berkata ia menyokong hasil pemeriksaan sebelum ini pada bulan Mac, di mana pasukan itu mengesahkan bahawa satu lagi serpihan yang dijumpai di Mozambique, juga hampir pasti dari MH370.
Serpihan pertama Boeing 777 itu terdampar di Pulau Reunion Perancis pada bulan Julai 2015. Malaysia dan pihak berkuasa Perancis mengesahkan flaperon itu adalah dari pesawat tersebut. – Reuters