Seronok gaya hidup gelandangan punca hilang

Ketua Polis Daerah Cheras, Aisisisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, perkara itu berdasarkan rakaman keterangan percakapan bapa kanak-kanak berumur 10 tahun itu, Noor Shahril Yusmarizal, 39, dan ibunya Siti Rohayu Yaacob, 37.

“Siasatan mendapati kanak-kanak itu telah pergi ke Pudu menaiki bas Rapid KL untuk berjumpa dengan rakannya dikenali sebagai Ari berumur 13 tahun di Chow Kit sebelum menetap di rumah gelandangan selama beberapa hari dan enggan pulang ke rumah kerana berasa seronok menerima makanan percuma daripada orang awam setiap malam.

“Bagaimanapun, Noor Ayrill Aqasha yang kehabisan wang telah menaiki bas percuma Go-KL untuk ke rumah ibunya, namun dia terlupa jalan ke rumah ibunya membuatkan dia hilang arah sehingga ditemui semalam,” katanya ketika dihubungi Bernama malam Ahad.

Kok Sin berkata, ibu bapa Noor Ayrill Aqasha telah datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras pada 8 malam tadi untuk memberikan keterangan berhubung perkara ini.

Menurut Kok Sin, Noor Ayrill Aqasha tidak mahu pulang ke rumah kerana risau dimarahi ayahnya maka dia membuat keputusan untuk menetap di kawasan gelandangan selama beberapa hari.

“Kanak-kanak ini akan pulang dan tinggal bersama ibunya hasil perbincangan kedua ibu bapanya yang berjanji tidak mengabaikan anak mereka pada masa depan,” katanya.

Noor Ayrill Aqasha dilaporkan hilang pada 31 Oktober lalu selepas keluar dari bilik sewa bapanya di Jalan Jejaka 5, Taman Maluri, di ibu negara.

Kehilangan Noor Ayrill Aqasha tersebar di laman sosial sejak kelmarin selepas ibu bapanya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menghubungi mereka selain memaklumkan kepada polis.

Kanak-kanak itu bagaimanapun ditemui bersendirian oleh abang rakannya, Mohd Ismail Abdullah, 15, di sebuah perhentian bas di Bukit Ampang, di sini kira-kira jam 7.30 malam kelmarin dalam keadaan lemah. – Bernama

Related Articles